Monday, June 13, 2011

My First Love- Part 4 (Surau A)


"InsyaAllah minggu ini kita ada program di surau A, bagi sesiapa yang berkesempatan bolehlah kita bersama-sama memeriahkan majlis ilmu kita di sana. Untuk adik-adik yang tak pernah lagi pergi, boleh tanya kakak-kakak ya.." ucap seorang ukhti senior dengan penuh bersemangat. "Surau A, di mana ya tempatnya? Erm, inilah masanya untuk keluar ke dunia luar," monolog saya dalam hati. Perasaan mahu melihat dunia luar melonjak dalam diri. Maklumlah, saya ni bolehlah nak dikatakan 'anak mak' sebab memang jarang sangat keluar dengan kawan-kawan. Balik cuti ke kampung pun abah yang ambil. Apatah lagi, mahu keluar ke bandar seorang diri dengan menaiki kenderaan awam. Walaupun begitu, hakikatnya saya ada satu semangat dalam diri untuk merasa hidup berdikari cuma masih ada sedikit ketakutan dan keraguan.

Di sini, cinta pertama saya memupuk keberanian dalam diri saya agar lebih berani dan yakin. Lebih-lebih lagi saya dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang tulus membimbing saya ke jalan yang diredhai-Nya.

Sebenarnya bukan tak pernah keluar dari kawasan pusat asasi, sudah beberapa kali saya ke bandar bersama dengan kawan-kawan sekuliyah, tapi tujuannya berbeza. Pada kali ini, hijrah saya ke suatu tempat asing memberi pengalaman menghabiskan hujung minggu itu dengan aktiviti yang berfaedah dan surau A menjadi saksi penguat cinta saya padanya yang pertama.

Surau A dalam sejarahnya, merupakan sebuah surau yang kecil. Terletak di tengah-tengah taman perumahan dan di belakangnya dikelilingi oleh bangunan pangsapuri yang penghuninya terdiri daripada keluarga yang bertaraf hidup sederhana. Dalam gambaran memori yang saya peroleh dari kakak yang merupakan pengasas awal yang menggerakkan aktiviti-aktiviti islami di situ, banyak sungguh cerita yang ingin dikongsikan. Bermulanya cerita mereka dengan 9 hati yang bersatu dalam satu ikatan dan kepercayaan. 9 hati inilah yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Suatu ketika itu, mereka masing-masing memasang cita-cita dan cita-cita itu diluahkan sesama mereka. Alangkah bahagianya melihat banyak lagi hati-hati yang akan terpaut bersama kita. Alangkah indahnya melihat surau A ini dipenuhi dengan jiwa-jiwa yang ingin mensucikan diri. Alangkah beruntungnya surau A ini boleh diperbesarkan dan memuatkan ramai lagi hati-hati yang tulus untuk mendekatkan diri pada Allah.

Ternyata, mimpi hari ini ialah kenyataan pada hari esok. Doa-doa dan impian yang pernah diungkapkan benar-benar menjadi kenyataan. Pada saat pertama kalinya saya menjejakkan kaki di sana, surau A sudah berubah, surau A sudah dipenuhi oleh jiwa-jiwa itu, surau A telah menjadi saksi ikatan cinta mereka, surau A telah menjadi bukti dari keberhasilan jiwa-jiwa yang tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah.

Kali ini, saya mengajak Z untuk turut bersama mengisi cuti hujung minggu kami dan ternyata Z tidak menolak pelawaan saya. Melalui nombor telefon yang diberikan, saya menghubungi ukhti S yang akan membawa kami ke tempat yang dikatakan. Petang itu, saya berkenalan dengan seorang lagi ahli keluarga cinta pertama saya. Ukhti S merupakan seorang pelajar tahun 2 di pusat asasi, dia mengambil jurusan perubatan. Kami berbual sambil menunggu seorang lagi ukhti yang kelambatan kerana kelasnya yang habis lewat.

Ukhti H berlari-lari anak menuju ke arah kami. Kami bersalaman dan dia tidak henti-henti mengungkapkan kemaafannya kerana melambatkan perjalanan kami. Kami tidak sedikitpun merasa terbeban, sebaliknya perasaan saya tidak sabar-sabar untuk pergi ke surau A…

To be continued…

0 comments:

Post a Comment