Friday, June 24, 2011

Menyemai benih…


Alhamdulillah, semalam saya terbaca satu blog teman. Entah kenapa, saya tertarik membaca satu entri yang mengisahkan sebuah catatan kehidupan. Terasa seperti ada sesuatu yang membangkitkan semangat dalam diri juga kesedaran buat jiwa saya yang selalu leka dalam meletakkan 2 cinta.

Terima kasih buat akhawat yang telah mendendangkan lagu" Antara Dua Cinta" pada program Wida' kita pada hari itu. Sejujurnya saya sangat suka, suka pada lagu-lagu yang menyentuh hati, irama yang menusuk jiwa kerana lagu-lagu inilah yang sentiasa memfokuskan minda saya untuk berzikir pada Allah.

Antara Dua Cinta (Raihan)
Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana
Di padang pasir

Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang

Tuhan.. leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintaMu ku harap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh
Mendidik jiwa bersyukur bukan mudah. Hal yang selalu saya katakan, "jika perkara itu mudah, pasti Allah tidak akan meletakkan banyaknya dalil-dalil yang memberi keutamaan supaya menjadi manusia yang bersyukur." Manusia…. tidak akan pernah merasa cukup.

Berbalik pada blog teman tadi, beliau ialah seorang murabbi yang tidak jemu mendidik mutarobbinya dengan penuh kesabaran. Dugaan dan ujian jiwa sentiasa menemani perjalanan dalam mentarbiyah hamba Allah…dan saya terpanggil untuk menilai diri saya.

Jika dahulu saya pernah mengungkapkan bahawa harapan saya ialah ingin menjadi IBU, (sound macam saya ni nak cepat-cepat berumah tangga saja kan)…tapi hakikatnya saya ingin meruntuhkan ego dalam diri saya yang sekian lama menjadi prinsip dalam jiwa… dan alam itu pasti akan ditempuhi suatu hari nanti…insyaAllah. Ego saya selalu menafikan hal-hal yang menjadi lumrah seorang perempuan seperti keinginan menjadi seorang isteri, ibu, bagi saya biarlah hal-hal tersebut diketepikan pada saat ini supaya fokus dalam gerak kerja tidak hilang. Tapi bila difikirkan semula, biarpun belum tiba saatnya memikirkan hal-hal demikian, lumrah itu perlu saya tanamkan dalam jiwa, jiwa ibu (jiwa yang sentiasa menyayangi anak-anaknya, jiwa yang sentiasa sensitive pada hal anak, jiwa yang merasa sakit tatkala sesuatu menimpa anaknya…) kerana menjadi seorang ibu itu ialah murobbi yang terbaik. Masakan tidaknya, jiwa ibu itu akan sentiasa merasakan anak-anaknya itu sebahagian dari belahan jiwanya… dan saya juga ingin merasakan hal itu saat saya membawa mutarobbi saya sendiri.

Syukur saya pada Allah, setelah penantian saya sejak mengungkapkan hal tersebut, akhirnya Allah mengurniakan saya 5 jiwa yang menjadi buah cinta pertama saya sepanjang pengharapan di waktu yang lalu… dan saya ingin mensyukuri nikmat Allah ini dengan sebenar-benar kesyukuran.

Kini, masanya saya serius terhadap amanah Allah ini di samping memperbaiki diri. Biarpun belum rasminya bergelar murobbi, saya akan terus mendidik diri supaya sentiasa memerhatikan tarbiyyah jiwa-jiwa ini…kerana ilmu suda ditimba dengan banyak, sangat rugilah bila ianya hanya menjadi catatan kertas dan teori semata-mata

Buat mutarobbiku,

Terima kasih kerana sudi menerima lamaran "ibu" mu ini,

Ku mohon kemaafan andainya segala yang kuberikan belum memenuhi jiwamu,

Moga Allah mengikat cinta dalam hati-hati ini,

Dan akan kusebut setiap nama bersama gambaran wajahmu dalam doaku yang tidak akan putus… agar kau istiqomah bersamaku menjunjung panji Islam di bumi ini..Amin

Wallahua'alam. Allah lebih mngetahui apa yang ada dalam jiwa hamba-Nya.


 

Thursday, June 23, 2011

Curahan Rasa


Mata?
Mudah sungguh kau bermaksiat
Lisan?
Pantas sungguh kau mengungkap kata-kata nista..
Hati?
Sedarkah kau pada dosa-dosa prasangka yang telah bersarang
Astaghfirullahal 'azim
Ya Allah, hambaMu ini hina! Hina dengan kemaksiatan!
Tidak pantas untukku mendapatkan kehormatan
Tidak cocok untukku mendapatkan sisi yang baik




Bila sang daie mengeluh dirinya
Aku bukanlah penyeru itu….lantas lisanku tidak selari dengan amalku
Aku makin jauh, jauh dari Dia Yang Maha Besar
Masihkah layak untukku mendidik, mentarbiyyah mereka
Munafik! Munafik sungguh diri ini!




Namun
Sampai bila, mahu menyalahkan diri
Adakah dengan kehilanganmu dari medan ini cukup memuaskan hidupmu
Bagi diriku, lari, hilang dan keluar bukan pengakhiran kemelut ini
Aku tahu dan sentiasa ingat
Medan ini akan berjalan, terlaksana tanpa adanya AKU
Tapi AKU! Mampukah aku meraih nikmat dan anugerah tertinggi itu
Tanpa merasakan pahit-getirnya menempuh jalan taqwa




Tanamkan dalam dirimu
Beringatlah dengan peringatan yang paling hampir
Itulah KEMATIAN
Suatu yang akan dihadapi setiap jiwa
Mungkin beberapa saat lagi ia bakal menjemput
Dan ketika itu terputuslah segala amalanmu
Jadi bekalan mana yang akan kau persiapkan
Cukupkah dengan bekalan jiwa FUTURmu?
Cukupkah dengan bekalan amalmu yang belum tentu keikhlasannya?
Cukupkah dengan hanya amalan fardhu yang belum tentu penerimaannya?




Jadi, kau punya kuasa untuk memilih
Tapi AWASLAH andai pilihanmu itu SALAH
Kerana KAU dan AKU tidak punya talian hayat lain
Yang akan menjawabnya hanyalah IMAN
Iman yang terhasil dari kedekatanmu, kebergantunganmu
Iman yang terhasil dari gerak amalmu dan keikhlasanmu
Iman yang terhasil dari pengorbanan jiwamu…..

Monday, June 13, 2011

My First Love- Part 4 (Surau A)


"InsyaAllah minggu ini kita ada program di surau A, bagi sesiapa yang berkesempatan bolehlah kita bersama-sama memeriahkan majlis ilmu kita di sana. Untuk adik-adik yang tak pernah lagi pergi, boleh tanya kakak-kakak ya.." ucap seorang ukhti senior dengan penuh bersemangat. "Surau A, di mana ya tempatnya? Erm, inilah masanya untuk keluar ke dunia luar," monolog saya dalam hati. Perasaan mahu melihat dunia luar melonjak dalam diri. Maklumlah, saya ni bolehlah nak dikatakan 'anak mak' sebab memang jarang sangat keluar dengan kawan-kawan. Balik cuti ke kampung pun abah yang ambil. Apatah lagi, mahu keluar ke bandar seorang diri dengan menaiki kenderaan awam. Walaupun begitu, hakikatnya saya ada satu semangat dalam diri untuk merasa hidup berdikari cuma masih ada sedikit ketakutan dan keraguan.

Di sini, cinta pertama saya memupuk keberanian dalam diri saya agar lebih berani dan yakin. Lebih-lebih lagi saya dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang tulus membimbing saya ke jalan yang diredhai-Nya.

Sebenarnya bukan tak pernah keluar dari kawasan pusat asasi, sudah beberapa kali saya ke bandar bersama dengan kawan-kawan sekuliyah, tapi tujuannya berbeza. Pada kali ini, hijrah saya ke suatu tempat asing memberi pengalaman menghabiskan hujung minggu itu dengan aktiviti yang berfaedah dan surau A menjadi saksi penguat cinta saya padanya yang pertama.

Surau A dalam sejarahnya, merupakan sebuah surau yang kecil. Terletak di tengah-tengah taman perumahan dan di belakangnya dikelilingi oleh bangunan pangsapuri yang penghuninya terdiri daripada keluarga yang bertaraf hidup sederhana. Dalam gambaran memori yang saya peroleh dari kakak yang merupakan pengasas awal yang menggerakkan aktiviti-aktiviti islami di situ, banyak sungguh cerita yang ingin dikongsikan. Bermulanya cerita mereka dengan 9 hati yang bersatu dalam satu ikatan dan kepercayaan. 9 hati inilah yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Suatu ketika itu, mereka masing-masing memasang cita-cita dan cita-cita itu diluahkan sesama mereka. Alangkah bahagianya melihat banyak lagi hati-hati yang akan terpaut bersama kita. Alangkah indahnya melihat surau A ini dipenuhi dengan jiwa-jiwa yang ingin mensucikan diri. Alangkah beruntungnya surau A ini boleh diperbesarkan dan memuatkan ramai lagi hati-hati yang tulus untuk mendekatkan diri pada Allah.

Ternyata, mimpi hari ini ialah kenyataan pada hari esok. Doa-doa dan impian yang pernah diungkapkan benar-benar menjadi kenyataan. Pada saat pertama kalinya saya menjejakkan kaki di sana, surau A sudah berubah, surau A sudah dipenuhi oleh jiwa-jiwa itu, surau A telah menjadi saksi ikatan cinta mereka, surau A telah menjadi bukti dari keberhasilan jiwa-jiwa yang tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah.

Kali ini, saya mengajak Z untuk turut bersama mengisi cuti hujung minggu kami dan ternyata Z tidak menolak pelawaan saya. Melalui nombor telefon yang diberikan, saya menghubungi ukhti S yang akan membawa kami ke tempat yang dikatakan. Petang itu, saya berkenalan dengan seorang lagi ahli keluarga cinta pertama saya. Ukhti S merupakan seorang pelajar tahun 2 di pusat asasi, dia mengambil jurusan perubatan. Kami berbual sambil menunggu seorang lagi ukhti yang kelambatan kerana kelasnya yang habis lewat.

Ukhti H berlari-lari anak menuju ke arah kami. Kami bersalaman dan dia tidak henti-henti mengungkapkan kemaafannya kerana melambatkan perjalanan kami. Kami tidak sedikitpun merasa terbeban, sebaliknya perasaan saya tidak sabar-sabar untuk pergi ke surau A…

To be continued…

Tuesday, June 7, 2011

My First Love- Part3 (Hatiku Terikat)


Satu pesanan mesej ringkas masuk ke telefon bimbit saya. Bukan sesuatu yang luar dari biasa apabila memperoleh mesej iftar yang akan diadakan pada setiap hari Khamis. Tempoh hari, seorang ukhti telah meluahkan rasa sedihnya kerana telah banyak mesej program yang diberikan tetapi jumlah yang memeriahkan majlis seperti iftar dan qiyam hanya individu yang sama. Waktu itu, sayalah orang yang paling terasa dengan teguran ukhti tersebut kerana tidak pernah langsung menghadiri majlis iftar yang diadakan mereka walaupun tempatnya sangat dekat dengan bilik. Entah mengapa, saat itu saya berazam akan hadir jika mendapat lagi mesej daripada mereka, mungkin sifat saya yang terlalu menghiraukan pandangan orang lain barangkali menjadi booster untuk berbuat demikian.

Nak dijadikan cerita, pada hari kejadian, saya pergi seorang diri juga tanpa ditemani sahabat baik saya. Berbekalkan makanan yang dibawa sendiri saya turun dari bilik menuju ke tempat yang dimaklumkan. Malu-malu saya menghampiri satu kelompok yang saya pernah temui di halaqah sebelum ini. Terlihat keceriaan di wajah masing-masing. Walaupun merasakan diri sayalah yang ghuraba' saat itu, tetap saja saya cuba mendekati mereka. Terasa sesuatu yang sangat mendamaikan saat melihat hubungan mereka yang sangat akrab dan rata-rata umur mereka juga lebih senior daripada saya. Salah seorang dari kelompok tersebut perasan kehadiran saya dan menghulurkan salam yang paling erat yang belum pernah saya rasakan. Subhanallah….masih wujud rupanya orang-orang seperti ini!

Petang itu, bunga-bunga cinta mekar dalam jiwa saya. Teruja, terkedu, dan rasa penghargaan yang sangat tinggi dari persahabatan yang baru saya kenali. Saya tidak sedikitpun kekok untuk bercampur gaul dengan mereka yang lebih tua dari saya, malah rasa cemburu juga melihat kemesraan mereka. Pada saat itulah, suatu ikatan hati antara diri saya dan mereka terbentuk. Benar, saya merasakannya! Masuk waktu berbuka, kami makan bersama dalam talam yang berisi nasi dengan bermacam jenis lauk-pauk dari bekalan yang kami bawa. Tanpa segan-segan juga, seorang ukhti menyuakan suapan ke mulut saya dengan tersenyum. "Terima kasih kak." Ujar saya. Saya pun turut membalas suapan ke mulutnya.

"Kali ini cinta pertama saya mula mengetuk pintu hati. Ia mengenalkan saya pada sebuah ikatan ukhuwwah yang disirami dengan baja keimanan… Saat kebersamaan ini ialah moment terindah yang tidak pernah saya lupakan, itulah saat pertama kalinya saya teruja dengan sebuah ikatan persaudaraan Islam…"

To be continued…

Friday, June 3, 2011

My First Love- Part2 (Taaruf Pertama)


Sebelum pulang dari kelas Arab, seorang sahabat telah memberi mesej Majlis Ilmu kepada saya. Kebetulan pada hari itu saya agak kelapangan dan diri juga merasakan sudah lama tidak ke majlis Taklim. Malam itu, saya dan Z (classmate) pergi ke tempat yang dimaklumkan. Terasa pelik juga kerana kebiasaannya kelas taklim dibuat di bilik yang lebih besar, tapi berbeza pula hari ini. Kelas ini selalunya dibuat pada Khamis malam, tetapi maklumat yang kami dapat ialah hari Selasa. Setelah setengah jam menunggu, kami terasa pelik sekali lagi kerana tiada sorangpun yang datang. Puas menunggu, tiba-tiba pintu bilik dibuka oleh seorang yang amat dikenali, "Eh, ustaz rupanya." Ustaz memandang kami dengan penuh tanda-tanya juga. "Eh, ukhti ada kelas di sini?" saya menjawab pertanyaan ustaz dengan seribu tanda-tanya juga. "Kami tunggu ustaz, bukankah hari ini Taklim?". Ustaz membalas, "Eh, ukhti dah silap hari ni, taklim ustaz hari Khamis ni." Segala persoalan kami terjawab akhirnya, kami menyangka telah tersilap dapat mesej. Pada masa itu, ustaz membawa bersama studentnya dari kalangan brothers. Terasa malu rasanya kerana telah tersilap, cepat-cepat saya dan Z keluar. Sebelum beredar, ustaz sempat menanyakan nombor telefon kami agar nanti dapat dihubungi untuk maklumat yang sebenar.

Belum sempat kami menuruni tangga untuk pulang, muncul beberapa orang sisters termasuk juga sahabat yang memberi maklumat salah mengenai Taklim kepada kami, pada waktu itu juga ustaz menghampiri gerombolan sisters itu sambil memanggil kami. "Ha, ukhti boleh ikut kakak-kakak ni." Tanpa banyak soal, kami menuruti kata ustaz walaupun fikiran masih termanggu-manggu dengan kejadian tadi.

Kami dibawa ke sebuah kelas yang lebih kecil dari tadi. Dalam kelas itu, seorang kakak sudah menunggu kami. Wajahnya tenang dan diulit denga senyuman yang penuh keikhlasan. Kami bersalam-salaman. Setelah itu, satu lingkaran majlis ilmu dibentuk. Hati saya bermonolog sendiri, terasa suatu ketidaksukaan di satu sudut. Memori lama menjengah semula, pengalaman dahulu yang pernah duduk dalam lingkaran seperti itu, membuatkan diri tidak berminat dengan majlis ilmu seperti itu. Walaupun begitu, saya positifkan hati. Semuanya kerana sifat malu alah yang wujud dalam diri saya. Malam itu, kami bertaaruf dan diperkenalkan dengan mutabaah ibadah. Sebelum pulang, sempat juga kakak itu mentaakhikan kami dan memberi tugasan agar kami melakukan ziarah antara satu sama lain dalam masa seminggu ini.

Sesungguhnya pada malam itulah saya diperkenalkan dengan cinta pertama saya. Taaruf pertama ini tidak langsung menarik hati saya dan saya sendiri merasakan ketidaksukaan padanya. Namun, kurniaan Allah memberi saya sifat malu alah ini membuatkan saya terus didampinginya.

Dua minggu sudah berlalu, walaupun telah mendapat mesej untuk hadir ke halaqah ilmu itu, tetap saja saya beralasan dengan banyaknya tugasan lecturer. Masuk minggu ketiga, sesalan lahir di hati dan muncullah perasaan kasihan buat kakak yang tidak jemu memberi mesej halaqah kepada saya. Pada malam itu saya gagahkan jua kaki biarpun tidak ditemani Z. Saya sangkakan sahabat yang pernah bersama pada kali pertama halaqah turut ada, tapi sangkaan saya meleset. Rupa-rupanya, hanya saya sahaja hadir pada hari itu. Setelah puas menunggu hampir setengah jam, saya sempat juga berbual-bual dengan kakak itu. Ketika halaqah pertama sebelum ini, dia sudah memaklumkan tentang dirinya yang mengambil jurusan Human Science di Gombak dan tahun itu ialah tahun kedua pengajiannya. Sekaligus pemikiran saya yang dahulunya negative terhadap orang-orang yang mengambil jurusan tidak islami, terubat sedikit demi sedikit. Biarpun dari penampilannya, bukanlah penampilan wara' yang menjadi sumber inspirasi saya selama ini, namun akhlaqnya mencerminkan budi pekerti sama dengan mereka malah juga lebih baik dari orang-orang yang pernah saya kagumi. Malam itu akhirnya saya digabungkan dengan beberapa group yang lain. Waktu itulah saya berkenalan dengan lebih ramai ahli keluarga bagi cinta pertama saya. To be continued….

Thursday, June 2, 2011

My First Love


Dalam memori saya ini terlalu banyak konteks ceritanya, sayang sungguh bila ianya hanya tersimpan di sudut itu. Kalau menurut Dr Fazilah Kamsah, individu yang lahir pada bulan 7 ini memang suka mengenang peristiwa lalu..Nah, saya penat, lelah sebenarnya bila memori2 lama tu selalu terimej di ruangan mata.
Tapi, dalam banyak2 memori yang tergambar, sukacita saya ingin mengongsikan peristiwa indah, cinta pertama saya yang berlaku pada beberapa tahun yang lalu. Waktu itu ialah saat kali pertamanya saya sudah bergelar seorang siswazah. Dalam catatan takdir, saya telah ditempatkan dalam sebuah intitusi pengajian tinggi peringkat asasi. Saya sedih pada awalnya kerana ini bukanlah tempat yang saya inginkan, semuanya adalah kerana minda saya ini terlalu sempit dan tidak terbuka dengan informasi tentang university-universiti di Malaysia.

Saya akui, jiwa saya saat itu rapuh, mudah dipengaruhi dan tiada prinsip yang kuat. Sungguhpun saya dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang penuh tatacara hidup Islami, namun, saya belum cukup kuat menghadapi ujian dan cabaran hidup atau lebih dikenali "cultureshock" di Kampus. Saya sedar diri saya begitu, makanya, saya berusaha meletakkan diri dalam kalangan biah solehah yang sentiasa menjadi impian saya sejak kali pertama melangkah di alam sekolah menengah. Saya khuatir dengan pemilihan bidang yang keduniaan (aliran Sains, ekonomi, teknologi) meletakkan diri saya dengan pelbagai jenis manusia yang saya streotaipkan tidak islami. Sungguh, sempitkan pemikiran saya?!

Cinta pertama sayalah yang membuka minda saya. Cinta pertama sayalah yang mematangkan pemikiran saya. Teringat kali pertama saya bertemu cinta pertama saya, segalanya perancangan Allah, bukan saya yang mencari-cari, semuanya hadir dari jalan yang tidak disangka. 
To be continued….