Tuesday, January 22, 2013

Moga kita tsabat

Hati berbunga-bunga melihat wajah insan tersayang ummi dan abah... tanpa mereka siapalah saya. Setelah 2 bulan meninggalkan kampung halaman setelah majlis walimah kak Ya yang gilang-gemilang, hanya perkhidmatan Celcom yang menjadi tali penghubung antara saya dan mereka. Kali ini hanya saya dan adik Luqman sahaja yang menemankan ummi abah di rumah, setelah bergantian dengan adik Atul yang menyambung pembelajarannya di CFS.

Sebolehnya saya menghiaskan wajah dengan senyuman paling manis, lebih-lebih lagi atas kejayaan dalam ujian memandu tempoh hari, hasil doa mereka, dan sahabat2 tersayang menaikkan lagi mood positif dan seri wajah kami. Dalam pacuan empat roda si kancil merah yang molek, banyak isu yang kami konsikan bersama, tidak terkecuali fenomena Listen, listen, listen....@_@, juga isu himpunan KL112 dan lain-lain.

Tidak terkecuali juga menanyakan khabar saudara-mara juga sepupu-sepupu yang cantik manis, perbualan menjadi syahdu seketika... Kata ummi, Cik Y selalu cerita pasal Jaja (bukan nama sebenar), sekarang ni Jaja ada program di luar negeri. Dapat tajaan kerajaan....Jaja selalu ikut program dan sandang jawatan macam2, kira orang penting juga, Cik Y nampak bangga dengan Jaja walaupun Cik Y hanya ibu saudaranya.... dan saya hanya terdiam mendengar cerita ummi, memberi laluan sehingga habis katanya. Kemudian saya menutur dengan lembut, "tak mengapa mi, kita bukan mahukan nama, terkenal, dan lain-lain, mi sendiri kenal anak ummi, mi tahu apa yang anak-anak mi lakukan..." Ummi membalas, "Bila Cik Y kata macam tu, mi diam je, mi tak nak cerita pasal anak-anak ummi, sebab mi yakin anak-anak ummi berada dalam jalan yang benar." Mendengar jawapan ummi, saya terharu, bangga mempunyai ibu yang memahami dan ikhlas. Ummi selalu kata, Ummi doa anak-anak mi jadi pembela agama bukan peruntuh...

Pandangan lahiriah mungkin tampak hebat dan gah di mata duniawi, namun percayalah tiada bezanya antara kita dan mereka kecuali bagi mereka yang benar-benar beramal dalam ketaqwaan.

“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya”. (QS. Al-Kahfi: 110).

Banyak pergerakan yang beratasnamakan Islam lahir pada hari ini, namun tidak dinafikan pasti setiap daripadanya mempunyai kelebihan dan kekurangan....hidup asas berjemaah itu sudah menjadi sesuatu yang lebih baik daripada hidup sendiri-sendiri, matlamat dan tujuan juga sendiri-sendiri. Dalam memilih jemaah juga harus bercirikan Islam yang syumul, dan tidak memisahkan agama dan kehidupan. Namun harus berhati-hati pada agenda-agenda tersembunyi yang mungkin mengaburi mata hati bila mudahnya jalan yang ditempuh dalam pergerakan dakwah.

Sunnah dakwah itu susah, kembalilah menghayati sirah. Sesungguhnya jalan yang susah itulah yang menjadi tanda kebenaran jalan yang kamu ikuti. InsyaAllah, tidak lupa doa "Allahummahdina sirotol mustaqim..."

Memetik perbualan saya dan ummi sebentar tadi, saya membayangkan semula perkara-perkara yang telah saya lakukan juga sahabat seperjuangan saya, jika nama dan jawatanlah yang kami inginkan, sudah lama kami bergelar PIC biro, Pengerusi Lajnah, MC program, PM program, Urusetia program, hatta Speaker program juga, tidak terkecuali artis yang menghiburkan hadirin dalam tatacara sesama jantina. Saya haru, bangga dalam diam, kerana bekalan-bekalan itu telah kami lalui untuk melayakkan kami seorang pemimpin, seorang yang mempunyai SESUATU. Kami diajar dan dididik untuk berdikari, menjadi militan, tidak mengharapkan belas orang lain, yang penting kami cari duit sendiri untuk program kami, bukan tajaan. Sunduquna Juyubuna, (Simpanan2 kami adalah dari poket2 kami). 
Subhanallah.

Semua hal terbatas pada pengalaman kami, bukanlah maksud saya untuk berbangga pada amal-amal tidak zahir yang kami lakukan, tapi hal inilah yang membuatkan saya terus yakin pada jalan yang saya ikuti, biarpun di luar sana pelbagai tohmahan kami terima, kami digelar rigid kerana selalu berprogram sejantina sahaja, kami dianggap tolak p****** bila tidak bersuara dalam hal tersebut....semua itu hanyalah anggapan lahiriah mereka, kami lebih tahu apa yang kami lakukan. Kami cuba membuktikan dengan amal bukan perkataan-perkataan kami.

Manusia suka membuat sangkaan, tetapi biarlah sangkaan kami baik-baik sahaja terhadap mereka. Allah, kurniakan hamba-Mu ini ketulusan hati, tawakkal dan sangka baik terhadap-Mu.

Semoga Allah terus mentsabatkan diri saya dan sahabat-sahabat saya dalam jalan dan medan juang ini kerana mati syahid adalah cita-cita kami semua. Walaupun kami bukan lahir sebagai seorang mujahid Palestin atau mujahid Syria, biarlah kami digelar para-para "ikhwan" yang dirindukan Rasulullah saw..... berkomitmen, berjuang hingga langkah terakhir ke pintu syurga Firdausi. Amin. 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang." (61:14)

Wallahua'alam.