Monday, July 29, 2013

Maut! Jangan dakapi aku lagi...

Setiap hari pasti ada sahaja risiko kematian
Kau menuggang kuda merahmu
mengharung hiruk pikuk suasana kota yang tidak begitu kota
sana-sani kelihatan penunggang gila
gila memburu mati kataknya
kau hanya mampu istighfar

pada hari itu
tarikh yang tidak lagi kau ingati
hampir sahaja dia mendakapimu
kau tercungap-cungap
mencari-cari ruang hela udara bersih
kau mula bersyahadah
andai sahaja itulah ketikanya
tapi bukanlah kau mahu menyerah
kau masih mengharap
dikurniakan lagi peluang-peluangnya

kerana
di satu catatanmu
kau telah mencatat hutang-hutangmu
ohhh.. betapa banyaknya
kau masih belum dapat langsaikan

di satu sudut lain
kau masih banyak amanah
apa yang akan kau jawab nanti
jika amanah masih belum tertunai sebaiknya

ohhh
dia, dialah maut...
jangan dakapi aku lagi
aku belum bersedia
kerana hutang dan amanah masih tertanggung di bahu kecilku

Alhamdulillah
Terima kasih Ya ALLAH
atas peluang-peluang yang masih Kau berikan

Telah berlalunya 24...

Telah tertulis dalam suratan takdir Ilahi, jodoh dan ajal mautnya seseorang yang kian menjemput. Kini 24 tahun sudah fasa-fasa kehidupan ini saya lalui. Antara dua perkara tadi yang masih dirahsiakan, hanya satu perkara yang benar dan pasti akan dirasai bagi tiap-tiap insan iaitu MATI. Kullu nafsin zaiqatul maut. Ini bermakna andai sahaja saya mengira umur kematian itu seperti umurnya Rasulullah iaitu 63 tahun, maka kini saya hanya punya 39 tahun sahaja lagi untuk berusaha mengumpul amal-amal kebaikan yang akan menjadi bukti tatkala dibentangkan di padang mahsyar kelak. Namun, itu hanya perkiraan yang tidak pasti, sedangkan maut itu boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja...

Maka, untuk diri saya, jadikanlah peringatan kematian ini sebagai motivasi untuk berbuat lebih banyak amal, kau harus buang segala rasa beban, rasa remah, rasa leceh yang hanya menghilangkan semangat berbuat kebaikan. Buatlah amalan-amalan yang tersembunyi, tiada pujiannya di hadapan orang. Ya, saya harus mengejar hal-hal itu.

Sudah 2 kali Ramadhan saya meraikan hari lahirnya saya di dunia...dan 2 kali ini jugalah belum menerima ucapan hari lahir tepat pada waktunya. Hakikatnya, hari lahir bukanlah apa-apa untuk dihargai orang sekeliling, namun bila adanya manusia terdekat yang mengingatinya, pastilah diri merasa dihargai. Tatkala ini hanya ucapan di muka buku yang menjadi pengubat..ohh tidak apa-apalah, mungkin refleknya pada diri sendiri juga, saya tidaklah selalu dapat mengingati hari lahir orang lain melainkan famili, kawan baik ketika kecil, dan seorang insan yang ingin dilupakan....

"Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.."

Ya, selalu sahaja terfikir-fikir untuk memberi hadiah pada sahabat-sahabat sebulatan gembira apabila tiba hari lahir mereka, tapi mungkin kerana menangguh-nangguh sampai terlupa terus. Rupanya tak elok menangguh-nangguh hal kebaikan, maka peluang merapatkan kasih sayang itu juga turut tertutup. Begitu juga buat mutarabbi sendiri.

Pesanan buat diri sendiri, berubahlah. Kuatkanlah slogan yang menjadi pegangan kini "Bangkitlah! Setelah kehidupan ini ada rehat yang panjang....". Teruslah menyebarkan cinta. Kejarlah kematian yang baik itu dengan keistiqamahan, kerana setiap orang itu akan dimatikan dalam keadaan kebiasaanya, jika hidupmu banyak perjuangan dan pengorbanan, maka in shaa Allah, mati juga di tempat itu. Ya, pastilah Al-Mautu fi sabilillah ASMA AMANINA!