Tuesday, September 10, 2013

Wa la in syakartum la Azidannakum

1400 tahun yang lepas pernah seorang hamba Allah yang mulia meluahkan kekhuatirannya, dengan perasaan itu, dia menanggung sakitnya kaki yang bengkak-bengkak.... pernah kita dengarkan? 

Tidak asing lagi kisahnya dengan peribadi idola kaum mukmin, kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW, masih menebal lagi jiwanya merasakan malu, rasa khuatir tidak tergolong dalam kalangan hamba yang bersyukur... Baginda, peribadi mulia, maksum, terpelihara dari dosa, namun kekuatan imannya selalu mendesak-desak untuk sentiasa menambahkan dan mengkualitikan ibadah, biarpun syurga sudah tertulis buatnya. 

Rupanya, setelah sekian lamanya aku menghadam cerita nostalgik ini, baru ketika ini dibukakan hikmahnya. Manjadi hamba yang bersyukur, pada lisan, ianya sangat mudah dituturkan, pada bahasanya juga senang difahami, namun pada zahirnya susah dipraktis di alam realiti. 

Mudah sahaja menyebutkan Alhamdulillah, tapi masih sahaja kita membanding-banding, mudah sahaja menyampaikan tausiyah syukur, tapi ada sahaja perkara yang kita rasa tak puas, mudah juga mentaujih mad'u tentang nikmat-nikmat kurnia Allah, tapi akal, hati terus sahaja dibakar-bakar dengan suuzzhon pada Allah.

Allah, telingaku saat ini kadang-kadang berdesing-desing dengan kalam-kalam hambaMu yang mula menghitung-hitung..... kutahu ajal, jodoh semua telah tertulis, kuharap diberikan kesabaran, juga buat mereka yang berkata-kata. 

Sungguh nikmat Tuhanmu yang manakah engkau dustakan??? 

Ya Allah, kurniakan kekuatan iman kepadaku, jadikan aku hamba bersyukur........

Hanya mampu kuucapkan.... Wala in syakartum la Azidannakum, wala in kafartum inna azabii lasyadid. Siapa yang bersyukur pasti akan Aku tambah..... 

Monday, July 29, 2013

Maut! Jangan dakapi aku lagi...

Setiap hari pasti ada sahaja risiko kematian
Kau menuggang kuda merahmu
mengharung hiruk pikuk suasana kota yang tidak begitu kota
sana-sani kelihatan penunggang gila
gila memburu mati kataknya
kau hanya mampu istighfar

pada hari itu
tarikh yang tidak lagi kau ingati
hampir sahaja dia mendakapimu
kau tercungap-cungap
mencari-cari ruang hela udara bersih
kau mula bersyahadah
andai sahaja itulah ketikanya
tapi bukanlah kau mahu menyerah
kau masih mengharap
dikurniakan lagi peluang-peluangnya

kerana
di satu catatanmu
kau telah mencatat hutang-hutangmu
ohhh.. betapa banyaknya
kau masih belum dapat langsaikan

di satu sudut lain
kau masih banyak amanah
apa yang akan kau jawab nanti
jika amanah masih belum tertunai sebaiknya

ohhh
dia, dialah maut...
jangan dakapi aku lagi
aku belum bersedia
kerana hutang dan amanah masih tertanggung di bahu kecilku

Alhamdulillah
Terima kasih Ya ALLAH
atas peluang-peluang yang masih Kau berikan

Telah berlalunya 24...

Telah tertulis dalam suratan takdir Ilahi, jodoh dan ajal mautnya seseorang yang kian menjemput. Kini 24 tahun sudah fasa-fasa kehidupan ini saya lalui. Antara dua perkara tadi yang masih dirahsiakan, hanya satu perkara yang benar dan pasti akan dirasai bagi tiap-tiap insan iaitu MATI. Kullu nafsin zaiqatul maut. Ini bermakna andai sahaja saya mengira umur kematian itu seperti umurnya Rasulullah iaitu 63 tahun, maka kini saya hanya punya 39 tahun sahaja lagi untuk berusaha mengumpul amal-amal kebaikan yang akan menjadi bukti tatkala dibentangkan di padang mahsyar kelak. Namun, itu hanya perkiraan yang tidak pasti, sedangkan maut itu boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja...

Maka, untuk diri saya, jadikanlah peringatan kematian ini sebagai motivasi untuk berbuat lebih banyak amal, kau harus buang segala rasa beban, rasa remah, rasa leceh yang hanya menghilangkan semangat berbuat kebaikan. Buatlah amalan-amalan yang tersembunyi, tiada pujiannya di hadapan orang. Ya, saya harus mengejar hal-hal itu.

Sudah 2 kali Ramadhan saya meraikan hari lahirnya saya di dunia...dan 2 kali ini jugalah belum menerima ucapan hari lahir tepat pada waktunya. Hakikatnya, hari lahir bukanlah apa-apa untuk dihargai orang sekeliling, namun bila adanya manusia terdekat yang mengingatinya, pastilah diri merasa dihargai. Tatkala ini hanya ucapan di muka buku yang menjadi pengubat..ohh tidak apa-apalah, mungkin refleknya pada diri sendiri juga, saya tidaklah selalu dapat mengingati hari lahir orang lain melainkan famili, kawan baik ketika kecil, dan seorang insan yang ingin dilupakan....

"Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi.."

Ya, selalu sahaja terfikir-fikir untuk memberi hadiah pada sahabat-sahabat sebulatan gembira apabila tiba hari lahir mereka, tapi mungkin kerana menangguh-nangguh sampai terlupa terus. Rupanya tak elok menangguh-nangguh hal kebaikan, maka peluang merapatkan kasih sayang itu juga turut tertutup. Begitu juga buat mutarabbi sendiri.

Pesanan buat diri sendiri, berubahlah. Kuatkanlah slogan yang menjadi pegangan kini "Bangkitlah! Setelah kehidupan ini ada rehat yang panjang....". Teruslah menyebarkan cinta. Kejarlah kematian yang baik itu dengan keistiqamahan, kerana setiap orang itu akan dimatikan dalam keadaan kebiasaanya, jika hidupmu banyak perjuangan dan pengorbanan, maka in shaa Allah, mati juga di tempat itu. Ya, pastilah Al-Mautu fi sabilillah ASMA AMANINA!

Tuesday, June 11, 2013

Already graduate but not yet

Officialy, belum graduate, sebab tak de lagi result... mohon doa agar diberi pelepasan. Tak sabar menempuh ujian, pengalaman hidup baru, pastinya lebih mencabar diri. ada juga ketakutan, mudah-mudahan menjadi medan menjadi lebih matang dan berpendirian kuat...Allah, semoga apa yang dilakukan di bawah pengawasan dan keredhaan-Mu. takut berbuat dosa, tapi still melakukan satu benda, tapi dirasakan perasaan sekarang tidak sama lagi dengan sebelum ini kerana ianya bukan lagi fokus yang melekakan. In shaa Allah, semoga hidup dalam panduan iman dan Islam. Allah.....

Anonymous said

Sekian kalinya blog ini ada pengunjungnya... huhu siapakah si ukhti yang berbicara kalam cinta ini. :) macam dapat meneka siapa.. ermm





Saturday, June 1, 2013

Refleksi Dosa

Sekian seminggu sudah liqo' mingguan terhenti seketika kerana menunaikan amanat untuk keluarga, terasa kehilangan titipan-titipan nasihat berharga pada minggu tersebut. Seusai sudah bertemu, terasa seperti dicurah-curah dengan air, Alhamdulillah, Allah menegur dengan begitu cepat.

Dosa kecil, tak semua menyedari kehadirannya dalam kehidupan. Namun, saya pasti, ketika sesuatu perkara yang kita lakukan dalam keadaan serba salah itu adalah satu hint daripada Allah untuk menyedarkan kita. Ya, bila hati masih punya keimanan...

Dosa kecil, kelihatannya hal-hal yang dibolehkan (mubah), seperti mana? Bershopping, main game handset, berbual-bual, berhias dengan hal yang menepati susur aurat, menonton video, melayari internet dan sebagainya. Semua hal yang disebutkan tidaklah diharamkan, namun bagaimana pula ia dapat membawa seseorang itu ke lembah dosa? Yang dikatakan dosa itu bila ianya membawa kepada hal-hal yang dilarang Allah seperti membuang masa, membazir, bertabarruj, melakukan hal yang tidak berfaedah dan lain-lain. 

Subhanallah, diri telah dilekakan dengan sesuatu yang dianggap menyeronokkan walaupun hati berkata ragu. Ketika nafsu lebih menguasai, hati yang beriman itu seakan-akan tersepit, kata-katanya tidak diendahkan kerana dia lemah, dia tiada sokongan. Inilah suatu kelebihan bila bersama dengan kelompok yang sentiasa memerhatikan turun naikknya iman, hati tadi telah mendapat sokongan kuat dan padu daripada hati-hati di persekitarannya. Justeru, seusai sudah liqo', tidak perlu menangguh-nangguh, buangkan segala perkara yang ragu, terus tinggalkan ia tanpa menoleh lagi... huh sememangnya mujahadah itu payah!

Perumpamaan bagi dosa kecil adalah seperti sekumpulan manusia yang turun ke suatu lembah dan setiap seorang daripada mereka membawa sepotong kayu sehingga mereka cukup kayu untuk membuat api dan membakar roti. Dosa kecil menghancurkan setiap insan yang melakukannya. (Riwayat Ahmad)

Mana mungkin seseorang itu boleh menjadi qudwah bila dirinya masih sukar melepaskan hal-hal seperti ini. Semuanya berbalik kepada iman kerana iman sentiasa berkata-kata, memberikan hint terhadap dosa-dosa yang tidak nampak dan satu hal yang terkait ialah bila masih adanya rasa malu, kerana malu adalah sebahagian daripada iman, malunya menzahirkan sesuatu perbuatan kepada masyayikh atau ulama, pastinya ianya sesuatu hal yang menjerumuskan kita kepada dosa kecil tadi. Ingatlah dengan peringatan-peringatan berharga ini:

Anas bin Malik pernah berkata ,”Kamu membuat kejahatan yang sekecil rambut pada penglihatan kamu, tapi ketika zaman Rasulullah kami menganggapnya dosa besar.”

Sesungguhnya, orang mukmin menganggap dosanya seperti gunung besar yang akan menghempapnya, manakala orang munafik pula menganggap dosanya seumpama lalat yang hinggap di hidungnya dan dia cuma menghalaunya pergi.

##Sibukkanlah diri dengan hal-hal yang bermanfaat agar diri tidak akan pernah punya waktu untuk hal-hal yang tidak bermanfaat tadi.


Tuesday, May 28, 2013

Rencana Kehidupan

Sejak akhir-akhir ni rajin pula berblog.... bukan sengaja membiarkan ia bersawang sebelum ini, tetapi banyak hal kurang direfleksi, hanya sempat berlegar-legar di minda dan...tupp-tupp hilang! inilah yang dimusykilkan. mungkin sudah akhir sem...banyak hal yang ingin dimuhasabah dan diabadikan dalam diari maya. 

Bicara soal penulisan... bermusim juga cik tukang taip ni. Bila musimnya bunga-bungaan, maka bunga-bungaanla tema penulisannya, macam sesumpah, bertukar ikut keadaan! Huh, sebenarnya segan nak kata, entri sebelum ni sudah membicarakan hal-hal di musim bunga (maksud saya musim walimahan)...huhuhu

Sebenarnya tak suka cerita tentang hal ni, tapi terasa nak taip juga. Sudah-sudahlah, sekarang kita tolak tepi soal itu dulu sebab masih menjadi rahsia Pencipta.

Jadi apa yang sebenarnya ingin dituliskan?

Tukang taip pun masih keliru apa temanya. Tajuk letak dulu. hoho

Rencana kehidupan?! erk....... 

Realitinya, apa yang saya ada sekarang.......... anak-anak a.k.a mutarabbi seramai 12 orang. Huh, bagaimana khabar mereka, sempat bertegur dengan sms sahaja. Tadi pula jumpa seorang bekas mutarabbi, wajahnya penat, nampak kurang selesa bila kita dekat dengannya, mungkin rasa bersalah atas hal yang berlaku sebelum, tapi saya hanya menegur seperti biasa, bertanya khabar peperiksaan dan pelajarannya. Akhir-akhirnya memberikan sedikit motivasi... ya nampak kaku perbicaraan kami, tapi saya cuba sembunyikan kejanggalan itu.

Owh, hal ini lebih penting untuk cik tukang taip refleks.... hiduplah dalam realiti!

### tajuk post ini mungkin kurang bersesuaian. sebab cik tukang taip hanya suka-suka nak duduk-duduk di laman blog, memerhatikan si Birdie bersiul-siulan..hoho (humoris pula Nur Ihj ni, sedangkan dia sebenarnya sentimental)


Monday, May 27, 2013

Antara 2 pilihan

Pastinya, saat-saat yang ditunggu-tunggu oleh seorang mahasiswa ialah bertukar statusnya sebagai seorang graduan. Ya, saat-saat itu semakin hari semakin hampir dan saya akan menduduki peperiksaan terakhir pada  tanggal 6 Jun 2013 ini dengan subjek yang sedikit sebanyak membuka wawasan pemikiran saya dalam bidang usul Fiqh...Subhanallah, ilmu Allah itu sungguh sangat berharga. 

Namun, banyak juga kegusaran dan kebimbangan yang sering terpaut di minda, sudah pastilah banyaknya persoalan-persoalan yang menanti kelak, dan tak perlu juga untuk tunggu, sudah terdengar lisan-lisan yang aktif bicaranya. Soalan-soalan biasa, lepas ni nak sambung master? nanti nak minta kerja di mana? bila nak kahwin, sepupu-sepupu dah 2 orang, next siapa pula....tuttt? Huh, perlukah saya menjawab semua persoalan ini dengan pengharapan? atau matlamat yang telah jelas? atau berserah kepada Allah? Apa-apa pun pastinya tawakkal ala Allah, kerana saya hanya akan berusaha mencari jalan-jalannya dan hanya Allah Penentu pilihan yang terbaik.

Usai sudah beberapa walimah akhawat tercinta, yang kini sudah bertukar milik.....huhu sungguhpun merasakan duka kerana status dahulu tidaklah lagi sama dengan sekarang, komitmen mereka juga perlunya melebihkan suami, namun saya tumpang menangis gembira dengan rahmat Allah buat mereka kerana sudah ada yang menjadi peneman kehidupan dan pendokong di jalan ini... In shaa Allah saya yakin buat akhwat yang sudah benar-benar mewakafkan dirinya pasti tidak akan meninggalkan jalan dakwah dan tarbiyyah ini kerana KITA sudah mendapat manis pahitnya, kita sudah banyak menyaksikan pertolongan Allah kepada mereka yang terus berjuang.

Bicara soal pernikahan, bukanlah untuk saya berharap kerana saya tahu Allah akan memberikan yang terbaik buat hamba-Nya dan Dia akan memberikan hal yang diperlukan hamba-Nya bukan kehendak mereka sendiri. Siapa sahaja tidak akan terasa, bila umur semakin berkurang, sekian ramainya pula sahabat dan saudara mara membina keluarga mereka, pasti ada juga terselit keinginan ke arah itu, tetapi hanya menunggu masa. Berbaik sangka pada Allah... dan saya hanya meletakkan 2 pilihan dalam rencana kehidupan ini, antara berkomitmen dalam jemaah dan beroleh pendokong (suami dai) atau berkomitmen tanpa pendokong itu sehinggalah kedua-dua pilihan ini akhirnya bertemu hanya untuk SYAHID fi sabilillah. Tentang ini saya ingin berbicara pada Pemilik saya dulu, kini  dan selamanya:

Ya Allah
aku mungkin bukan hamba yang baik
selalu sahaja kalah dalam mujahadah
terkadang juga melebihkan hal lain berbanding suruhan-Mu

Ya Allah
aku benar-benar meminta syahid di jalan-Mu
jauhkan aku dari "title" si syahid yang tidak ikhlas itu
aku tidak ingin diheret sepertinya 
kerana dia syahid atas perjuangan yang dibangga-banggakan gelarannya

Ya Allah
andai kehidupan ini cinta si "dia" menjadi milikku
janganlah letakkah cinta ini dalam fitnah
kerana aku mahu si dia itu melebihkan-Mu daripadaku

Ya Allah
bicara ini bukan ingin kutunjuk-tunjukkan 
hanya curahan rasaku agar dapat kujadikannya inspirasi
saat aku hilang pedoman dan mula bersangka buruk

Ya Allah
andai coretan maya ini ada pembacanya
semoga bicara aku tidak membawa fitnah pada yang lain

Mujahidah Palestina dan Syams, mereka beroleh kesyahidan yang mulia, mereka beruntung dikurniakan jalan kesyahidan di medan jihad........ buat jiwa saya, teruslah meniti jalan dakwah ini kerana dirimu sudah menyaksikan kebenarannya, dirimu juga sudah meyakini jalan ini satu-satunya yang akan menjamin kesyahidan perjuangan di medan dakwah! Ya Rabb, aku mengimpikan syahid itu. Bantulah aku, perkenankanlah! Kuatkan aku, fahamkan aku, gerakkan segala yang kumiliki untuk jalan ini....Amin.

Wednesday, April 10, 2013

Sekadar menyapu debu-debu di laman

Sudah sekian lamanya blog ini menjadi kertas conteng mayaku... Bila terasa nak menulis maknanya pemikiran sedang kritis ketika itu, sungguh rugi bila ianya hilang dalam kotak memori. Terus terangnya tujuan saya (lebih sopan) berblogging bukan untuk menjadi blogger handal kerana saya takkan sampai ke tahap itu, blog ini hanyalah umpama wasilah penulisan dan luahan rasa, juga diari yang akan diabadikan dalam bentuk maya.

Banyak saat manis tarbiyyah yang ingin diceritakan, tapi sayangnya yang nak menulis ini sangat miskin dgn perbendaharaan kata. 

Wednesday, April 3, 2013

Bukan Ibu BIASA!

Terpana dengan ketabahan para ibu itu, bukan ibu biasa, bukan mama biasa, bukan juga ummi biasa... kerana di sebalik menunaikan pelbagai hak dan tuntutan dalam keluarga, si ibu masih sempat mencari-cari ruang untuk menyumbang kepada umat. Komitmen dalam pentarbiyahan tetap terus berjalan, kerana jalan ini, dia telah mewakafkan dirinya untuknya, dia telah berbaiah untuk meneruskan perjuangan baginda Rasulullah saw.... sungguh saya kagum terhadap peribadi-peribadi ini, sebab saya masih belum punya keluarga seperti mereka, masih bertatih-tatih kaki memahami kehidupan besar umat, masih mencari-cari pengalaman yang membuka mata... mampukah saya menjadi setabah mereka, mungkin kerana itulah belum sampainya waktu itu, kerana Allah mahu saya menyiapkan jiwa yang matang, yang akan terus menghayun langkah untuk membela umat ini biarpun status apakah yang dimiliki...

Si ibu tadi, sabar dengan tingkah anaknya, walau terpaksa membawa mereka ke Liqo' mingguan, dan mereka itu (anak-anaknya) pelabagai ragam sekali. Akhir-akhirnya liqo', anak-anak itu sudah tertidur, masing-masing didukung para akhawat ke mobil ibunya, hehe satu pengalaman yang asyik!

Friday, March 22, 2013

Pemergian demi pemergian

Baru seminggu lepas menerima berita duka pemergian Dr Ghassan Taha Yaseen, seorang lecturer dari Department of History, juga pemergian saudara sepergerakan akhi Iman Syafiq.... Hari ini dikhabarkan lagi pemergian seorang ulama tersohor, Syeikh Ramadhan Al-Bhuti. Subhanallah semuanya pemergian yang baik, mereka meninggalkan kesan-kesan yang baik dalam jiwa ramai manusia.

Dikhabarkan Dr Ghassan, saat kewafatannya sempat bersyahadat 2 kali dan meninggalkan wajah terkhirnya dalam senyuman.

Saudara Iman Syafiq, sempat juga menghantarkan sms terakhir yang memberi persaksian dirinya yang telah diwakafkan dalam jalan dakwah ini.

Fadhilatusyeikh Ramadhan Al-Bhuti, syahid bersama 14 muridnya sewaktu dalam pengajian (taman-taman syurga).

Subhanallah, kematian mereka husnul khotimah, saya pula bagaimana.............?!

*selalu berdoa untuk dikurnikan syahid. Aminn...  


Thursday, March 7, 2013

Musim Bunga Akhawat

Sudah semakin ramai akhawat yang sudah dan bakal melewati musim-musim bunganya. Satu petanda yang bagus kerana dakwah ini sedang menuju ke stage keduanya iaitu pembinaan keluarga muslim. Subhanallah, satu rahmat, nikmat dan kurniaan Allah yang menyatukan dua hati yang selalu menjaga dirinya. 

Saya masih terus berdoa buat akhawat yang masih mengharap pertemuan dengan bakal imamnya (termasuklah diri saya).... saya pasti sekuat dan setabah mana pun seorang akhawat itu, di sudut hatinya bersemi satu pengharapan, kerana siapa sahaja apabila dirinya bernama wanita pasti mengimpikan mujahid dan mujahidah yang bakal lahir dari rahimnya sendiri.

Kepada diri saya dan juga akhawat yang masih menanti, bertabahlah dan bersabarlah, semikanlah cinta Allah di jiwa-jiwa kita, kerana bila kita mencintai Allah, maka pemilik cinta Allah juga yang bakal kita miliki. Moganya cinta Allah melebihi segalanya.

Dalam penantian ini juga, kita harus sentiasa bersedia, melakukan sebuah persiapan, agar apabila rahmat Allah itu hadir, kita akan terus istiqomah mencintai sebuah jalan yang menyinari warna-warni hidup, kerana jalan tarbiyyah inilah kita meninggalkan jahiliyyah kepada ma'rifah, kerana jalan tarbiyyah inilah kita meninggalkan ananiyah kepada ukhuwwah, kerana jalan tarbiyyah inilah kita menjadi mujahidah muharrikah fi sabilillah.

I will always love you........my akhawat Ansarullah. 

Tuesday, January 22, 2013

Moga kita tsabat

Hati berbunga-bunga melihat wajah insan tersayang ummi dan abah... tanpa mereka siapalah saya. Setelah 2 bulan meninggalkan kampung halaman setelah majlis walimah kak Ya yang gilang-gemilang, hanya perkhidmatan Celcom yang menjadi tali penghubung antara saya dan mereka. Kali ini hanya saya dan adik Luqman sahaja yang menemankan ummi abah di rumah, setelah bergantian dengan adik Atul yang menyambung pembelajarannya di CFS.

Sebolehnya saya menghiaskan wajah dengan senyuman paling manis, lebih-lebih lagi atas kejayaan dalam ujian memandu tempoh hari, hasil doa mereka, dan sahabat2 tersayang menaikkan lagi mood positif dan seri wajah kami. Dalam pacuan empat roda si kancil merah yang molek, banyak isu yang kami konsikan bersama, tidak terkecuali fenomena Listen, listen, listen....@_@, juga isu himpunan KL112 dan lain-lain.

Tidak terkecuali juga menanyakan khabar saudara-mara juga sepupu-sepupu yang cantik manis, perbualan menjadi syahdu seketika... Kata ummi, Cik Y selalu cerita pasal Jaja (bukan nama sebenar), sekarang ni Jaja ada program di luar negeri. Dapat tajaan kerajaan....Jaja selalu ikut program dan sandang jawatan macam2, kira orang penting juga, Cik Y nampak bangga dengan Jaja walaupun Cik Y hanya ibu saudaranya.... dan saya hanya terdiam mendengar cerita ummi, memberi laluan sehingga habis katanya. Kemudian saya menutur dengan lembut, "tak mengapa mi, kita bukan mahukan nama, terkenal, dan lain-lain, mi sendiri kenal anak ummi, mi tahu apa yang anak-anak mi lakukan..." Ummi membalas, "Bila Cik Y kata macam tu, mi diam je, mi tak nak cerita pasal anak-anak ummi, sebab mi yakin anak-anak ummi berada dalam jalan yang benar." Mendengar jawapan ummi, saya terharu, bangga mempunyai ibu yang memahami dan ikhlas. Ummi selalu kata, Ummi doa anak-anak mi jadi pembela agama bukan peruntuh...

Pandangan lahiriah mungkin tampak hebat dan gah di mata duniawi, namun percayalah tiada bezanya antara kita dan mereka kecuali bagi mereka yang benar-benar beramal dalam ketaqwaan.

“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya”. (QS. Al-Kahfi: 110).

Banyak pergerakan yang beratasnamakan Islam lahir pada hari ini, namun tidak dinafikan pasti setiap daripadanya mempunyai kelebihan dan kekurangan....hidup asas berjemaah itu sudah menjadi sesuatu yang lebih baik daripada hidup sendiri-sendiri, matlamat dan tujuan juga sendiri-sendiri. Dalam memilih jemaah juga harus bercirikan Islam yang syumul, dan tidak memisahkan agama dan kehidupan. Namun harus berhati-hati pada agenda-agenda tersembunyi yang mungkin mengaburi mata hati bila mudahnya jalan yang ditempuh dalam pergerakan dakwah.

Sunnah dakwah itu susah, kembalilah menghayati sirah. Sesungguhnya jalan yang susah itulah yang menjadi tanda kebenaran jalan yang kamu ikuti. InsyaAllah, tidak lupa doa "Allahummahdina sirotol mustaqim..."

Memetik perbualan saya dan ummi sebentar tadi, saya membayangkan semula perkara-perkara yang telah saya lakukan juga sahabat seperjuangan saya, jika nama dan jawatanlah yang kami inginkan, sudah lama kami bergelar PIC biro, Pengerusi Lajnah, MC program, PM program, Urusetia program, hatta Speaker program juga, tidak terkecuali artis yang menghiburkan hadirin dalam tatacara sesama jantina. Saya haru, bangga dalam diam, kerana bekalan-bekalan itu telah kami lalui untuk melayakkan kami seorang pemimpin, seorang yang mempunyai SESUATU. Kami diajar dan dididik untuk berdikari, menjadi militan, tidak mengharapkan belas orang lain, yang penting kami cari duit sendiri untuk program kami, bukan tajaan. Sunduquna Juyubuna, (Simpanan2 kami adalah dari poket2 kami). 
Subhanallah.

Semua hal terbatas pada pengalaman kami, bukanlah maksud saya untuk berbangga pada amal-amal tidak zahir yang kami lakukan, tapi hal inilah yang membuatkan saya terus yakin pada jalan yang saya ikuti, biarpun di luar sana pelbagai tohmahan kami terima, kami digelar rigid kerana selalu berprogram sejantina sahaja, kami dianggap tolak p****** bila tidak bersuara dalam hal tersebut....semua itu hanyalah anggapan lahiriah mereka, kami lebih tahu apa yang kami lakukan. Kami cuba membuktikan dengan amal bukan perkataan-perkataan kami.

Manusia suka membuat sangkaan, tetapi biarlah sangkaan kami baik-baik sahaja terhadap mereka. Allah, kurniakan hamba-Mu ini ketulusan hati, tawakkal dan sangka baik terhadap-Mu.

Semoga Allah terus mentsabatkan diri saya dan sahabat-sahabat saya dalam jalan dan medan juang ini kerana mati syahid adalah cita-cita kami semua. Walaupun kami bukan lahir sebagai seorang mujahid Palestin atau mujahid Syria, biarlah kami digelar para-para "ikhwan" yang dirindukan Rasulullah saw..... berkomitmen, berjuang hingga langkah terakhir ke pintu syurga Firdausi. Amin. 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang." (61:14)

Wallahua'alam.