Saturday, November 13, 2010

Wahai manusia, tingginya darjatmu !


Terpanggil rasanya ingin meng"update" blog pagi ni. Sewaktu membaca berita di Metro semalam terlihat satu video yang memaparkan suatu berita yang menyayat hati dari seorang saudara Islam kita. Insan malang ini telah disimbah asid oleh ahli keluarganya sendiri. Habis seluruh wajahnya sehingga ke leher melecur sehinggakan doktor yang merawat mengatakan harapannya untuk pulih sangat tipis. Entah salah apalah yang dilakukan insan ini sehingga mengundang kemarahan ahli keluarganya sendiri. Kecederaan fizikal yang dialami mungkin boleh diubati dengan izin Allah, namun kecederaan hati, siapalah yang bisa mengubati.


Hiba dan sedih melihat apa yang terjadi pada hari ini. Umat Islam hanya atas nama. Namun, ajaran yang dibawa Rasulullah saw ditolak ke tepi. Bukankah memaafkan itu lebih baik? Sedangkan Allah pun mengampuni hamba-Nya, inikan pula manusia. Wahai manusia, tingginya darjat kamu sehingga engkaulah yang berhak menentukan hukuman. Lebih sedih lagi ahli keluarga yang terlibat dalam kes ini temasuklah ibunya yang telah 9 bulan mengandungkannya. Tidak punyakah perasaan kasihan buat darah daging dari benihmu sendiri?


Walaupun sedih hatinya insan malang ini dengan ketidakpedulian keluarga sendiri, selama 11 bulan sudah menanggung derita sendirian, barulah beliau keluar di dada akhbar tanda rindu buat ibu dan saudaranya yang lain. Beliau memohon belas kasihan orang ramai untuk menyumbang kos pembedahannya. Bayangkanlah sahabat, selama 11 bulan ini, mata yang dulu dapat melihat kini dunia gelap tanpa cahaya, mulut yang dapat menikmati makanan lazat, kini susahnya untuk menelan. Kata beliau, mulutnya sukar untuk dibuka, matanya tiada harapan lagi untuk sembuh, lehernya ketat kerana kulitnya telah saling bercantuman.


Namun, ucapannya buat ibu dan saudaranya, hanya kemaafan diberikan. Tidak sekali mendendami diri mereka yang telah berlaku kejam. Buat hamba Allah ini, bersabarlah... inilah tanda kasih dari Penciptamu. Moga dikau beroleh maghfirah dan syurga-Nya kelak..Amin.


"Istimewanya orang beriman itu, apabila diberi kenikmatan dia bersyukur, apabila diberi ujian dia bersabar"


Boleh link disini: http://www.youtube.com/watch?v=_uNJLQrPCho&feature=player_embedded

0 comments:

Post a Comment