Wednesday, November 10, 2010

Perwira Ummah



    Di bumi Allah, berjalannya seorang pemuda megah melaungkan kalimat Allah, mengangkat panji Islam dan menjulangnya setinggi langit. Beliau pemuda teguh pendiriannya, zuhud pada kemewahan dan kelazatan dunia. Saat malamnya, dihiasi dengan masa-masa indah bersama Rabbnya. Tidak pernah jemu merintih dan memohon. Saat siangnya, tidak sekali-kali dimanjakan perutnya kerana beliau mengetahui banyaknya hikmah dari ibadah yang satu ini. Solatnya tidak hanya cukup pada yang wajib, sunat nawafil menjadi bekalan jiwa sepanjang perjalanan.

    Kelahirannya mengulit ukiran manis di wajah sang bonda. Tangisan seorang mujahid yang dinanti-nanti seluruh alam maya. Tanggal 11 Mac 1918 menjadi tarikh keramat buat kelahirannya seorang manusia yang telah mengukir sejarah yang mengkagumkan bakal-bakal mujahid. Di bumi berpasir menjadi saksi tertanamnya benih perwira ummah. Sosok peribadi yang lahir dalam sebuah keluarga yang berkecukupan, namun kesenangan ini dilalui dengan penuh kezuhudan. Tidak langsung menjadi halangan kerana Allah telah memilih jiwa yang satu ini. Beliau terpilih untuk menghadapi perit dan getirnya liku-liku jalan yang diredhai. Jalan yang hanya memerlukan sosok peribadi teguh dan tsabat menggenggam amanah Allah. Dunia bukanlah lagi tujuan, tetapi beliaulah perindu syurga yang melihat dunia sekadar sepintas lalu.

    Di jeriji besi itu, wajahnya tenang. Tenang kerana merasakan Sang Pencipta sentiasa di sisinya. Suatu ketika, tangan-tangan rakus menyakiti jiwa yang satu ini. Peritnya orang melihat namun beliau tetap tenang dan redha dengan apa yang dihadapi walau nikmat pendengarannya ditarik seketika. Kecederaan fizikal bukanlah alasan untuk menghentikan perjuangan, bahkan kecederaan hati lebih ditakuti. Kesabarannya yang luarbiasa dianugerahi Allah dengan nikmat pendengaran yang lebih baik. Subhanallah wabihamdihi... bibir terus basah mengungkap kalimah suci.

    Selama 20 tahun itu, ujian yang dilalui menjadi tiang asas penguat jiwa yang bergelora. Jalan ini telah melebur dalam jiwanya, tidak sesekali pandangannya berpaling, dan tidak sekali-kali jiwanya merayu untuk direhatkan. Perjalanan diteruskan dengan sepenuh keyakinan. Menjulang yang hak menguburkan yang batil....

    Ombak ganas pantas melanggar kapal yang dinakhodainya. Bukan dirinya tidak mampu, namun sudah sampai masanya bersama kekasih yang dirindui. Sang Rabb memanggil dengan penuh cinta. Lantas seruan disambut tanpa lengahnya...Namun bagi yang mendengar kisahnya, jiwa yang tersentuh pasti bercita-cita untuk menuruti pemergiannya. Anugerah yang hanya bagi mereka yang terpilih. Mereka yang telah mengorbankan seluruh harta, jiwa dan tenaganya, yang tidak langsung peduli dengan kenikmatan dunia. Mereka inilah yang menjadikan akhir hidup sebagai puncak kezuhudan mereka terhadap dunia dan puncak kerinduan mereka terhadap syurga. –Nukilan khas buat Muhammad Kamaluddin As-Sananiri-

0 comments:

Post a Comment