Wednesday, November 10, 2010

Merendahlah...


    Seusai habisnya Mentoring pada hari itu, Hana mengeluh lagi, monolognya dalam hati, "ilmu ni bukan baru bagiku, setakat membincangkan permasalahan akhlak, sirah Nabi...bukankah semua sudah kulalui zaman sekolah rendah dulu? Bosan, aku inginkan perkara baru..." Begitulah yang dirasakan Hana setiap kali pulang dari halaqah mentoring yang sebulan sudah disertainya. Hana tidak pernah pula terlepas daripada mengikuti halaqah yang diadakan setiap minggu itu. Namun, hatinya masih belum sepenuhnya menghargai apa yang sedang dimilikinya. Tidak pernah ikhlas untuk hadir hanya sekadar kerana takut ketidakhadirannya ditanya-tanya pula oleh Naqibah.

    Tidak dinafikan, perkara begini sering berlaku. Bukan sahaja dalam halaqah-halaqah khusus, namun mungkin juga dalam program-program yang dilalui sepanjang masa pentarbiyahan. Begitulah, tarbiyah ini masanya panjang. Perlukan kesabaran dalam mengecapi liku-liku yang mendatang. Bukan anasir luaran sahaja yang mengancam, namun anasir dalaman kita sendiri sering berbolak-balik. Tidaklah dinamakan hati itu "القلب" jika bukan sifatnya yang berubah-ubah. Susahkan menjaga 'benda' yang tidak zahir di mata? Tetapi jika 'benda' ini tidak dijaga, rosaklah pula cabang-cabangnya yang lain. Teringat pula sabda Rasulullah saw dalam hadith keenam Arba'in Nawawiyah:

" ألا وإن في الجسد مضغة، إذا صلحت، صلح الجسد كله، وإذا فسدت، فسد الجسد كله ألا وهي القلب"
Sesungguhnya dalam jasad itu ada seketul daging, jika baiknya ia maka baiklah seluruh jasad, dan jika rosaknya ia maka rosaklah seluruh jasad.


Atau dalam pepapatah Melayunya yang nampak iras2 dengan isu ni bak kata pepatah "kerana nila setitik rosak susu sebelanga" eh..boleh jadi ke..? erm… tanya pada yang pakar. Begitulah peranan hati, di sinilah puncanya setiap yang kita zahirkan dalam perbuatan seharian. Penyucian jiwa ini harus berlaku setiap masa bukan hanya waktu-waktu yang tertentu. Jika merasa ucapan atau monolog dalaman hanya memberi pandangan negatif pada perkara2 kebaikan, muhasabahlah kembali.





    Menuntut ilmu itu wajib. Menghormati yang memberi ilmu juga wajib. Bandingan taraf diri kita dengan ilmu, terlalu rendah. Walau ilmu itu hanya sebutir biji benih. Merendahlah dengan ilmu, tundukkanlah keegoan hati kerana yang memberi ilmu bukanlah Sang Penyampai tetapi PEMILIK ilmulah yang menetukan sama ada kau layak menerima atau tidak. Jangan sekali merasa tinggi dengan ilmu yang dimiliki kerana bila-bila masa sahaja Allah berkuasa menariknya kembali. Bagi yang menghadapi masalah ini, perbaharuilah niatmu, beristighfarlah, tundukkan keegoan hati, hargailah ilmu yang diterima…"Jadilah umpama cawan yang kosong saat kau menuntut ilmu, agar cawan itu akan terisi bukan cawan yang telah penuh airnya kerana isinya akan melimpah dan hanya kering menunggu masa."

p/s: cerita di awal perenggan hanya rekaan semata-mata tidak ada kaitan sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia


 

0 comments:

Post a Comment