Sunday, January 1, 2012

AUKU MENGANGKAT KUALITI MAHASISWA


Melalui beberapa pembacaan yang sedikit, saya memahami AUKU ditubuhkan untuk melahirkan mahasiswa yang fokus terhadap pembelajaran  mereka di institusi pengajian tinggi. Dengan mempergunakan alasan bahawa mahasiswa menggunakan wang rakyat untuk pendidikan mereka, dan kerajaan pula bertanggungjawab memastikan para pelajar institusi pengajian tinggi ini tidak menghabiskan masa mereka dengan melakukan demonstrasi-demontrasi jalanan, berpartisipasi dengan badan-badan politik sehingga mengabaikan pelajaran dan mensia-siakan wang rakyat.. Hasilnya, sebuah akta undang-undang digubal bagi menyekat kebebasan pelajar melebihkan aktiviti luar mereka berbanding dalam kampus sendiri.


“Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) merupakan satu akta yang digubal oleh kerajaan Malaysia yang diperkenankan oleh raja pada 27 April 1971. Ia juga merupakan suatu akta sebahagiannya di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam dan bagi perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya. Akta ini dipinda pada tahun 1975 dan 1995 menjadi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1995.


Matlamat utama terhadap pindaan yang dibawa dalam tahun 1975 tersebut yang kekal sehingga kini ialah menghalang:


- penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja, dan


- penggabungan di antara badan-badan pelajar.”

-Wikipedia-


Jika mengikut kiraan, sudah 17 tahun sudah akta pindaan ini diperkenalkan, namun sudahkah cukup membanggakan pencapaian para intelektualiti graduan-graduan yang telah dilahirkan oleh institusi-institusi pengajian Negara kita?

Jika hasilnya, betapa ramai graduan yang masih menganggur di luar sana, dek kerana mengharapkan panggilan dari badan-badan kerajaan untuk bekerja dengannya. Wawasan pemikiran telah lama tumpul, yang diharapkan hanya mendapat kerja tetap di badan kerajaan, beroleh wang pencen sesudah tamatnya tempoh khidmat, menyara keluarga dengan wang pencen, menghabiskan sisa-sisa hidup di rumah sendiri  tidakpun di rumah orang-orang tua. Kualiti manusia beginikah yang ingin kita bentuk untuk mencapai wawasan 2020?

Di manakah lagi akan lahirnya masyarakat yang berdikari sendiri, dalam masa yang sama dapat bersama-sama membantu kerajaan menaikkan ekonomi Negara, bukan dengan hanya makan hasil usaha orang lain. Sebenarnya, kualiti manusia apa yang dicari-cari?

Kita sudah hilang nilai manusia penyumbang, yang kita ada hanyalah manusia yang suka dengan sogokan dan huluran. Tiada yang meletakkan erti hidup pada sebuah pemberian. Kita lebih mahu menerima berbanding memberi. Kerana dengan menerima, kita rasakan hidup kita selesa, tidak perlu susah-susah memikirkan masalah orang lain. Pemikiran kita hanya dalam sebuah ruangan kotak yang sempit.

Begitulah, hasil dari sebuah sekatan kebebasan bersuara kerana darinya juga potensi pemuda yang berfikiran luas dan berani untuk tampil menyuarakan hak terkubur di tengah-tengah arus kebangkitannya. Dari sudut Rabbaninya, undang-undang Allah itu sudah ada ketetapan yang tidak boleh diubah, namun bagi kita manusia, kenapa undang-undang buatan secara teorinya boleh diubah, kerana manusia itu tidak sempurnanya 100%. Jika dilihat ia telah menzalimi hak, maka secara darurinya, menyekat kemudharatan yang besar itu lebih baik daripada wujudnya manfaat yang sedikit. Setakat ini, tidak nampaknya akta ini memberi manfaat yang besar untuk Negara, kerana yang dilihatnya rata-rata kualiti mahasiswa yang ada pada hari ini masih lagi banyak menghabiskan masa di Wangsa Walk, Bukit Bintang, KLCC…. Yang lebih teruk bila terlibat dengan masalah-masalah sosial yang bukan sahaja menjatuhkan imej institusi pengajian tinggi malah menyebarkan virus-virus bahaya pada nilai moral masyarakat sendiri. Jika lebih banyak lagi penangkapan mahasiswa yang dibicarakan atas akta ini, lebih tercalarnya imej polis-polis Malaysia yang semakin digelar pengganas, lebih buruknya tanggapan rakyat terhadap kerajaan sendiri kerana tidak dapat mempertahankan keamanan sebuah Negara, maka jika AUKU lah punca utamanya, kenapa tidak dibubarkan sahaja akta ini? Masalah besar Negara kini bukanlah untuk  menghadapi mahasiswa yang kononnya berhati sekeras batu kerana ketidaksetujuan mereka pada akta yang satu ini, tetapi, lihatlah kualiti pemuda-pemuda kini yang sudah semakin kurangnya wawasan hidup mereka, hanya mencari keseronokan dengan berpartisipasi dalam konsert-konsert yang menjulang artis-artis berbanding para ilmuan.

Jika alasan utamanya, pelajar akan mengabaikan pelajaran apabila terlibat dengan politik di luar, saya tidak akan bersetuju kerana lebih banyak faktor lain yang menyumbang pengabaian mahasiswa terhadap pelajaran antaranya seperti penganjuran konsert-konsert artis tempatan dan luar Negara, lebih banyak kelab-kelab hiburan dibiarkan beroperasi, tidak mngehadkan pembukaan pasaraya-pasaraya yang menyalurkan wang Malaysia ke luar, keterbukaan badan penapisan filem terhadap pengeluaran filem-filem ‘favourite’  masyarakat, kewujudan acara-acara perlawanan bola sepak yang tidak henti-henti,( tanpa sedar, kita lebih mengangkat para artis dan atlet itu di kasta yang paling tinggi berbanding para ilmuan) dan inilah perkara-perkara yang lebih banyak memberi kemudharatan pada nilai moral dan bangsa kita. Namun, mengapa ianya tidak pula disekat?!

*tulisan ini adalah pendapat penulis sendiri. Penulis bukanlah orang yang bertauliah membicarakan isu demikian kerana pengetahuan yang terbatas, pembacaan yang tidak meluas, hanya sekadar menulis apa yang dirasakan dan diamati dari pemahaman yang cetek.  

0 comments:

Post a Comment