Wednesday, July 6, 2011

Marilah beramal...

Dah lama rasanya tak update blog. Lepas halangan demi halangan berlalu, rasa manis bila masa tak terbuang percuma..tapi sebenarnya jika mahu digelar orang yang sibuk, rasanya belum lagi berhak mendapat "title" terpuji ini. Pastilah, saya rasa tidur masih cukup 5 hingga 8 jam sehari, juga sempat makan pada waktunya, sempat juga nak update blog dan meninjau-ninjau laman facebook yang sudah menjadi rutin.



Kalau mendengar kisah Imam Nawawi, sangat jauhnya diri saya dengannya jika mahu dibandingkan. Sang pencinta ilmu ini tidak pernah mempunyai rutin tidur, makan, dan rehat yang cukup, sehinggakan terngiang-ngiang kisah ulama' ini di kotak fikiran saya. Tidurnya hanya saat kepalanya tersengguk seketika, alangkah tingginya mujahadah sang imam yang dihormati ini... dan jika tidak kerana pengorbanan yang dilakukan, bagaimana kiranya kitab-kitab Hadith 40, Riyadussolihin, al-Minhaj (Syarah Sohih Muslim) dan lain-lain sampai ke tangan kita pada hari ini. Pengorbanan yang dilakukan bukanlah tanpa tujuan malahan segalanya adalah untuk kepentingan umat Islam seluruhnya.

"Khairunnas anfa'uhum linnas", sebaik-baik manusia itu ialah yang paling bermanfaat untuk manusia... Sungguh, mahu menjadi manusia yang bermanfaat ini bukan mudah, lebih-lebih lagi menjadi sebaik-baik manusia. Fikiran saya juga mengatakan, anda tidak akan dengan mudah mendapat "title" terpuji tersebut kerana dalam banyak-banyak amal yang dilakukan, sudah tentu mendapat 100% markah penuh itu menjadi kebarangkaliannya satu dalam seribu. Sudah tentulah, jika di situ ada mesin mengenalpasti sebesar mana tajarrud (pemurniaan) dalam setiap amalmu.., amal yang mana yang anda jamin keikhlasannya? Amal mana juga yang tidak tercemar dengan perkara-perkara syubhat? Amal mana jua yang 100% tidak terdetik sedikitpun dalam hati anda inginkan pujian dan juga hatimu bisa menerima kritikan dengan penuh lapang dada?

Oleh demikian, berbuatlah amal sebanyak-banyaknya kerana belum tentu lagi separuh daripadanya bakal menyokongmu tatkala di hadapan Rabb Yang Maha Tinggi. Berusahalah memurnikan hati dan jiwa agar amal yang dilakukan tidak sia-sia. Wallahua'alam.

0 comments:

Post a Comment