Melalui beberapa pembacaan yang sedikit, saya memahami
AUKU ditubuhkan untuk melahirkan mahasiswa yang fokus terhadap pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi. Dengan
mempergunakan alasan bahawa mahasiswa menggunakan wang rakyat untuk pendidikan
mereka, dan kerajaan pula bertanggungjawab memastikan para pelajar institusi
pengajian tinggi ini tidak menghabiskan masa mereka dengan melakukan
demonstrasi-demontrasi jalanan, berpartisipasi dengan badan-badan politik
sehingga mengabaikan pelajaran dan mensia-siakan wang rakyat.. Hasilnya, sebuah
akta undang-undang digubal bagi menyekat kebebasan pelajar melebihkan aktiviti
luar mereka berbanding dalam kampus sendiri.
“Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) merupakan satu akta yang digubal oleh kerajaan Malaysia yang diperkenankan oleh raja pada 27 April 1971. Ia juga merupakan suatu akta sebahagiannya di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam dan bagi perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya. Akta ini dipinda pada tahun 1975 dan 1995 menjadi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1995.
Matlamat utama terhadap pindaan yang dibawa dalam tahun 1975 tersebut yang kekal sehingga kini ialah menghalang:
- penglibatan pelajar dengan parti politik dan kesatuan sekerja, dan
- penggabungan di antara badan-badan pelajar.”
-Wikipedia-
Jika mengikut kiraan, sudah 17 tahun sudah akta pindaan
ini diperkenalkan, namun sudahkah cukup membanggakan pencapaian para
intelektualiti graduan-graduan yang telah dilahirkan oleh institusi-institusi
pengajian Negara kita?
Jika hasilnya, betapa ramai graduan yang masih
menganggur di luar sana, dek kerana mengharapkan panggilan dari badan-badan
kerajaan untuk bekerja dengannya. Wawasan pemikiran telah lama tumpul, yang
diharapkan hanya mendapat kerja tetap di badan kerajaan, beroleh wang pencen
sesudah tamatnya tempoh khidmat, menyara keluarga dengan wang pencen,
menghabiskan sisa-sisa hidup di rumah sendiri tidakpun di rumah orang-orang tua. Kualiti
manusia beginikah yang ingin kita bentuk untuk mencapai wawasan 2020?
Di manakah lagi akan lahirnya masyarakat yang
berdikari sendiri, dalam masa yang sama dapat bersama-sama membantu kerajaan
menaikkan ekonomi Negara, bukan dengan hanya makan hasil usaha orang lain. Sebenarnya,
kualiti manusia apa yang dicari-cari?
Kita sudah hilang nilai manusia penyumbang, yang kita
ada hanyalah manusia yang suka dengan sogokan dan huluran. Tiada yang
meletakkan erti hidup pada sebuah pemberian. Kita lebih mahu menerima
berbanding memberi. Kerana dengan menerima, kita rasakan hidup kita selesa, tidak
perlu susah-susah memikirkan masalah orang lain. Pemikiran kita hanya dalam
sebuah ruangan kotak yang sempit.
Begitulah, hasil dari sebuah sekatan kebebasan
bersuara kerana darinya juga potensi pemuda yang berfikiran luas dan berani untuk tampil menyuarakan hak terkubur di tengah-tengah arus kebangkitannya. Dari sudut Rabbaninya, undang-undang Allah itu sudah ada ketetapan
yang tidak boleh diubah, namun bagi kita manusia, kenapa undang-undang buatan
secara teorinya boleh diubah, kerana manusia itu tidak sempurnanya 100%. Jika
dilihat ia telah menzalimi hak, maka secara darurinya, menyekat kemudharatan
yang besar itu lebih baik daripada wujudnya manfaat yang sedikit. Setakat ini,
tidak nampaknya akta ini memberi manfaat yang besar untuk Negara, kerana yang
dilihatnya rata-rata kualiti mahasiswa yang ada pada hari ini masih lagi banyak
menghabiskan masa di Wangsa Walk, Bukit Bintang, KLCC…. Yang lebih teruk bila
terlibat dengan masalah-masalah sosial yang bukan sahaja menjatuhkan imej institusi
pengajian tinggi malah menyebarkan virus-virus bahaya pada nilai moral masyarakat
sendiri. Jika lebih banyak lagi penangkapan mahasiswa yang dibicarakan atas
akta ini, lebih tercalarnya imej polis-polis Malaysia yang semakin digelar
pengganas, lebih buruknya tanggapan rakyat terhadap kerajaan sendiri kerana
tidak dapat mempertahankan keamanan sebuah Negara, maka jika AUKU lah punca
utamanya, kenapa tidak dibubarkan sahaja akta ini? Masalah besar Negara kini
bukanlah untuk menghadapi mahasiswa yang
kononnya berhati sekeras batu kerana ketidaksetujuan mereka pada akta yang satu
ini, tetapi, lihatlah kualiti pemuda-pemuda kini yang sudah semakin kurangnya
wawasan hidup mereka, hanya mencari keseronokan dengan berpartisipasi dalam
konsert-konsert yang menjulang artis-artis berbanding para ilmuan.
Jika alasan utamanya, pelajar akan mengabaikan pelajaran
apabila terlibat dengan politik di luar, saya tidak akan bersetuju kerana lebih
banyak faktor lain yang menyumbang pengabaian mahasiswa terhadap pelajaran
antaranya seperti penganjuran konsert-konsert artis tempatan dan luar Negara,
lebih banyak kelab-kelab hiburan dibiarkan beroperasi, tidak mngehadkan
pembukaan pasaraya-pasaraya yang menyalurkan wang Malaysia ke luar, keterbukaan
badan penapisan filem terhadap pengeluaran filem-filem ‘favourite’ masyarakat, kewujudan acara-acara perlawanan
bola sepak yang tidak henti-henti,( tanpa sedar, kita lebih mengangkat para
artis dan atlet itu di kasta yang paling tinggi berbanding para ilmuan) dan
inilah perkara-perkara yang lebih banyak memberi kemudharatan pada nilai moral
dan bangsa kita. Namun, mengapa ianya tidak pula disekat?!
*tulisan ini adalah pendapat
penulis sendiri. Penulis bukanlah orang yang bertauliah membicarakan isu
demikian kerana pengetahuan yang terbatas, pembacaan yang tidak meluas, hanya
sekadar menulis apa yang dirasakan dan diamati dari pemahaman yang cetek.
0 comments:
Post a Comment