Wednesday, July 20, 2011

Buat sahabat yang pernah mengenali saya...


khas buatmu sahabat yang pernah mengenali saya...

Friday, July 15, 2011

My First Love- Part 5 (Cinta berbalas...)

   Kami diam seribu bahasa, tidak tahu apa yang harus dituturkan. Kedua telinga setia mendengar tuduhan yang dilemparkan. Tidak dapat berhujah apa-apa kerana ternyata, ianya benar kesalahan kami sendiri yang tidak mengikut peraturan buatan manusia. Terngiang-ngiang di kotak fikiran, "peraturan ini tak salah pun kan, tidak bertentangan dengan shariah, tapi kenapa kamu tak nak ikut... lagi pula semuanya muka baik-baik...kamu ni selfish..!"

   Kami yang mendengar hanya bisa menelan air liur. Kami akui ianya kesalahan kami. Rasa bersalah terus menyelubungi. "Buatlah apa pun, kami terima dengan hati terbuka.." monolog saya dalam hati. Lantas satu-satu persatu nama dicatat di nota yang bakal mengadili kami selepas ini.

   Seusai selepas peristiwa yang memberi pengajaran berharga sebentar tadi, saya dan ukhti A bergegas ke rumah "ummi" kami yang terletak jauh di luar kampus. Selepas berbincang beberapa ketika mengenai kenderaan yang akan dinaiki, kami memutuskan untuk  meminjam motosikal kepunyaan ukhti F. Pada awalnya, tidak terdetik pun mahu melanggar peraturan kerana masih belum ada lesen, tetapi melihatkan keyakinan ukhti A, saya akur dan saya meyakini bahawa perjalanan yang akan dilalui pasti selamat.

   Berbekal doa dan tawakkal, ukhti A yang berani, memboncengkan saya di belakangnya dan seterusnya bergerak ke destinasi tujuan atas beberapa urusan penting. Alhamdulillah perjalanan kami selamat, ada juga satu peristiwa yang kurang penting untuk diceritakan, sewaktu tiba di stesen minyak, kami yang sememangnya masih baru dalam bidang mengendalikan kenderaan ini terpinga-pinga mencari kunci untuk membuka bahagian tempat mengisi minyak. Saya segera mencapai telefon menghubungi ukhti F, namun panggilan pertama tidak berbalas. Datang seorang lelaki menghampiri kami dengan lagak orang biasa. Akhirnya, berhasil juga mencari tempat membuka tempat minyak dengan bantuan lelaki tadi. Tidak tertinggal untuk mengucapkan terima kasih. Tidak habis cerita di situ, masalah lain pula menjelma...tak terisi-isi tong minyak setelah berulang kali menekan pamnya, akhirnya datang seorang mak cik yang merupakan pekerja di stesen itu membantu kami...perjalanan kami diteruskan dengan ucapan terima kasih dan balasan senyuman terhadap mak cik yang membantu kami tadi juga sepenuh kesyukuran pada Allah. Kami sampai ke rumah "ummi" dengan selamat.

   Petangnya, selepas asar, pengembaraan pulang mencabar diri kami. Entah kenapa, ukhti A bersungguh-sungguh mahu saya yang menunggangnya. Katanya, mahu saya belajar untuk menunggang motosikal di jalan raya yang sibuk dan besar. Hanya Allah yang mengetahui perasaan saya tatkala itu, namun saya optimis pada ukhti A dan saya juga ada perasaan ingin mencuba. Tanpa banyak persoalan, saya mencapai helmet dan bersedia untuk menunggang. Saya serahkan segalanya kepada Allah, kerana pengalaman lama selalu mengajar agar tidak membabitkan diri dalam kesalahan melanggar peraturan sekolah, etika atau apa pun kerana diri saya selalu sahaja akan 'terkena' setiap kali melakukan kesalahan dengan sengaja.

   Destinasi demi destinasi kami harungi sehinggalah kegirangan dalam hati saya tatkala melihat papan tanda untuk masuk ke jalan yang akan membawa kami ke kampus. Sampai di pertengahan jalan, beberapa km lagi untuk sampai, saya terlihat satu kelompok yang amat dikenali dan digeruni oleh para pesalah jalan raya. Saya ditahan, dan diminta mengeluarkan IC dan lesen. Saya hanya jujur memberikan ic tanpa lesen. Pegawai tersebut hanya mengambilnya dan meminta saya ke tepi jalan. Pelbagai hal menjengah di kotak fikiran, memikirkan diri yang baru memperoleh lesen L, pelbagai hal buruk tergambar. Namun, hati saya tidak pula berdebar, atau menyalahkan sesiapa.Saya hanya merasakan ketenangan kerana ukhti A ada bersama saya ketika itu. Selepas beberapa minit, pegawai tersebut menyerahkan IC saya. Terasa pelik sedikit tapi saya hanya simpankan dahulu.

   Sampai sahaja di kampus, tidak henti-henti membincangkan musibah yang ditimpa kami pada hari ini. Namun, perbincangan ini tidak sedikitpun memberi ruangan untuk berburuk sangka pada Allah. Malah, saya merasakan sebuah pengalaman yang sangat berharga untuk dirasai diri-sendiri. Daripada peristiwa tengahari tadi sehinggalah petangnya, kami mencari-cari ibrah yang terkandung.

   Sangkaan saya, pada hari ini saya beroleh ujian yang bertimpa-timpa... saya berusaha memperoleh jawapan-jawapannya. Akhirnya, beberapa perkara terjawab, pada mulanya saya menyangka lesen L saya akan digantung 2 tahun, pasti banyak perkara yang akan bertimpa-timpa, bermulanya saya tidak dapat meneruskan pengajian memandu saya, mencari kewangan untuk membayar saman kesalahan jalan raya dan juga membuat lesen baru....memakan belanja yang saya sangka akan mencapai hampir RM1000... rupa-rupanya, pemegang lesen L tidak langsung termasuk dalam sistem dimerit, saya terselamat dari ujian 'wang' yang berat bagi seorang pelajar... Pengalaman ukhti lain yang pernah diuji dengan ujian yang lebih berat dari ini lebih menjadikan diri saya bersyukur dengan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah.


   Berkenaan saman jalan raya, ukhti F ada juga menanyakan tentang surat samannya. Yang pastinya kami tidak peroleh apa-apa pun dari pegawai tadi selain iC saya. Kata ukhti L yang turut melihat kejadian kami petang tadi kemungkinan kami tidak disaman...dan mungkin juga motosikal yang mendapat saman. Jika perkara tersebut terjadi, saya bersedia mengeluarkan wang saya untuk itu.. saya tertanya-tanya....dan perkataan inilah yang membuat hati saya terasa penuh keharuan "Allah sayang antunna..".

   Betapa tausiyah demi tausiyah saya peroleh pada petang Khamis yang istimewa itu begitu juga sharing moment bersama ukhti A yang sangat menyentuh hati saya. Besarnya kasih Allah buat diri ini kerana sebelum ini saya pernah meminta diberikan ujian sedemikian rupa. Tambahan lagi, setiap takdir Allah punya hikmah yang sangat diperlukan diri. Bermulanya pada saat saya menggantikan ukhti A menunggang motosikal, di situ Allah telah menyelamatkan ukhti A dari musibah yang lebih berat kerana taraf kewarganegaraan ukhti A yang tidak membantu...pasti sesuatu yang lebih buruk akan berlaku sekiranya ukhti A yang ditahan menunggang tanpa lesen.

   Apabila saya menceritakan pengalaman masa lalu yang selalu 'terkena' setiap kali melakukan kesalahan, jawapan yang saya terima bahawa Allah sangat menyayangi saya kerana memberi 'teguran' yang cepat setiap kali melakukan perkara yang tak sepatutnya. Di sinilah balasan cinta Allah meningkatkan keyakinan diri saya...dan melalui cinta pertama ini banyak perkara yang banyak merubah persepsi, prinsip dan pemikiran.

   Satu perkara yang paling membangkitkan kasih saya pada cinta pertama ialah apabila setiap perkara berharga yang kita harungi, kita tidak merasa bersendirian. Di sisi saya ada sahaja yang menemani. Inilah saat kemanisan yang tidak akan saya lupakan dalam hidup bila mengharungi kesusahan bersama ukhuwwah yang sentiasa dibajai dengan rasa balasan cinta Allah.

وَلا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا


“Kami tiada membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya”. (QS : Al Mukminun [23] : 62)

~ Ujian yang dihadapi memberi jawapan kepada saya terhadap tingkat keimanan saya kini... Azam saya untuk terus bergerak, beramal dengan itqan dan menyerahkan segala urusan kepada Allah kerana mutiara kalam Allah yang sudah tersemat dalam jiwa ialah "Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (in tansurullah wa yansurkum wayutsabbit aqdamakum) [ surah Muhammad,47:7] ~





Wednesday, July 13, 2011

Wacana Tarbawi - Syeikh Jum'ah Amin


"Siapa yang lembut perkataannya, maka wajiblah mencintainya.." (Saiyidina Ali)

"Hikmah itu ialah sesuatu yang hilang daripada orang beriman, maka sesiapa yang menemuinya maka dia berhak ke atasnya.."

"jangan kamu bakhil dengan harta dan masa kamu di jalan Allah..."

"salah satu tanda Allah mencintai kita adalah apabila kita sentiasa diberikan taufiq dan hidayah-Nya..."

"Allah mengurniakan akhlaq kepada seseorang sebagaimana dia mengurniakan rezeki kepada mereka..."

"kami mentarbiyyah kader-kader kami supaya lidah mereka sentiasa basah dengan zikrullah, mereka mengamalkan zikir/doa ma'tsur setiap pagi atau petang, jiwa-jiwa mereka sentiasa dididik untuk dekat dengan Allah...."


10 Sahabat Dijamin Syurga

Wednesday, July 6, 2011

Marilah beramal...

Dah lama rasanya tak update blog. Lepas halangan demi halangan berlalu, rasa manis bila masa tak terbuang percuma..tapi sebenarnya jika mahu digelar orang yang sibuk, rasanya belum lagi berhak mendapat "title" terpuji ini. Pastilah, saya rasa tidur masih cukup 5 hingga 8 jam sehari, juga sempat makan pada waktunya, sempat juga nak update blog dan meninjau-ninjau laman facebook yang sudah menjadi rutin.



Kalau mendengar kisah Imam Nawawi, sangat jauhnya diri saya dengannya jika mahu dibandingkan. Sang pencinta ilmu ini tidak pernah mempunyai rutin tidur, makan, dan rehat yang cukup, sehinggakan terngiang-ngiang kisah ulama' ini di kotak fikiran saya. Tidurnya hanya saat kepalanya tersengguk seketika, alangkah tingginya mujahadah sang imam yang dihormati ini... dan jika tidak kerana pengorbanan yang dilakukan, bagaimana kiranya kitab-kitab Hadith 40, Riyadussolihin, al-Minhaj (Syarah Sohih Muslim) dan lain-lain sampai ke tangan kita pada hari ini. Pengorbanan yang dilakukan bukanlah tanpa tujuan malahan segalanya adalah untuk kepentingan umat Islam seluruhnya.

"Khairunnas anfa'uhum linnas", sebaik-baik manusia itu ialah yang paling bermanfaat untuk manusia... Sungguh, mahu menjadi manusia yang bermanfaat ini bukan mudah, lebih-lebih lagi menjadi sebaik-baik manusia. Fikiran saya juga mengatakan, anda tidak akan dengan mudah mendapat "title" terpuji tersebut kerana dalam banyak-banyak amal yang dilakukan, sudah tentu mendapat 100% markah penuh itu menjadi kebarangkaliannya satu dalam seribu. Sudah tentulah, jika di situ ada mesin mengenalpasti sebesar mana tajarrud (pemurniaan) dalam setiap amalmu.., amal yang mana yang anda jamin keikhlasannya? Amal mana juga yang tidak tercemar dengan perkara-perkara syubhat? Amal mana jua yang 100% tidak terdetik sedikitpun dalam hati anda inginkan pujian dan juga hatimu bisa menerima kritikan dengan penuh lapang dada?

Oleh demikian, berbuatlah amal sebanyak-banyaknya kerana belum tentu lagi separuh daripadanya bakal menyokongmu tatkala di hadapan Rabb Yang Maha Tinggi. Berusahalah memurnikan hati dan jiwa agar amal yang dilakukan tidak sia-sia. Wallahua'alam.